Categories
AGAMA SELANGOR

MAIS & McDonald’s rai lebih 500 anak yatim, asnaf berbuka puasa

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 20 MEI: Lebih 500 kanak-kanak dari 12 rumah kebajikan di Selangor disantuni dalam majlis berbuka puasa di Masjid Kampung Raja Uda, Persiaran Raja Muda Musa, di sini, semalam.

Majlis itu merupakan inisiatif tahunan McDonald’s Malaysia bersama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) dengan kerjasama bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin berkata, pihaknya berasa amat sukacita dapat bekerjasama dengan McDonald’s, LZS dan YIDE dalam usaha membawa kegembiraan terhadap anak-anak yatim serta asnaf di bulan Ramadan yang mulia ini.

“Usaha dilakukan McDonald’s Malaysia dalam melakukan majlis sebegini seiring dengan matlamat MAIS, LZS dan YIDE iaitu menjaga kebajikan serta memberi sumbangan kepada golongan yang berhak menerimanya.

“Diharapkan supaya anak-anak yang kita raikan pada malam ini terus diberi rezeki yang melimpah-ruah bukan sahaja dalam bulan Ramadhan tetapi juga pada bulan-bulan lain,” katanya dalam kenyataan.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah dan Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid.

Sementara itu, Azmir berkata, McDonald’s berasa bangga apabila dapat turut serta membabitkan diri dalam aktiviti kebajikan seperti itu terutamanya sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.

“Untuk makluman, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GARSB) adalah pengendali rangkaian restoran McDonald’s di Malaysia dan merupakan syarikat milik tempatan yang dikendalikan oleh individu Islam sebagai pemegang saham terbesar.

“Sebagai sebuah syarikat milik individu Islam, kami turut melaksanakan kewajipan membayar zakat bagi membantu golongan fakir miskin di Malaysia dan pada tahun lepas, GARSB sudah membayar zakat sebanyak RM1 juta,” katanya.

Terdahulu, majlis berbuka puasa itu membabitkan 12 rumah kebajikan antaranya Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakun (PEKEAS), Rawang; Badan Kebajikan Siti Khadijah Anak Yatim Selangor Petaling Jaya; Rumah Kebajikan Anak Yatim Al-Munirah Klang; Rumah Amal Baitul Kasih/Baitul Fitrah Rawang dan Rumah Kebajikan Anak Yatim Al-Khairiyah Klang.

Selain itu, turut diraikan dari Persatuan Kebajikan Anak Yatim Damai Kuang; Rumah Amal Raudhatul Jannah Banting; Rahoma Darul Fakir Subang; Rumah Kasih Harmoni Sungai Buloh; Rumah Anak-anak Yatim An-Nasuha Batu Caves; Rumah Anak Yatim dan Hidayah Al-Hijrah Hulu Langat serta Pusat Jagaan Siraman Kasih Rawang.

Difahamkan, majlis berbuka puasa kali ini merupakan jemputan paling ramai pernah diadakan McDonald’s Malaysia.

Menariknya, setiap rumah kebajikan menerima sumbangan RM10,000 dari RMHC manakala kanak-kanak turut diberi RM20 seorang, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bernilai RM130,000 disampaikan pada majlis berkenaan.

=EZY=