Categories
SELANGOR

Malu kalau terus jadi ahli Umno

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 5 MEI: Ahli Parti Ketuanan Melayu, Umno seharusnya malu memiliki Presiden Parti yang dikaitkan dengan amalan penyelewengan dan salah guna kuasa, kata Naib Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, parti itu tidak perlu dipertahankan lagi kerana kerana matlamat asal penubuhannya untuk mengangkat martabat orang Melayu, sudah tersasar.

“Ahli Umno, tolonglah. Kalau saya jadi ahli parti seperti kamu, saya sangat malu memiliki seorang pemimpin penakut seperti Presiden kamu itu.

“Ini pemimpin apa ini? Sudahlah didakwa terlibat skandal sana sini, sekarang Presiden parti mereka ini penakut. Beliau terlalu takut dengan kebangkitan rakyat.

“Lebih memalukan, Presiden parti mereka juga terlalu takutkan wajah Tun Mahathir. Ahli Umno sepatutnya sedar bahawa Presiden Umno adalah seorang penakut, bacul dan tidak boleh berdepan dengan kenyataan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya yang menyaksikan lebih 7,000 warga Ampang hadir di Padang Awam Taman Kosas, malam tadi.

Dilaporkan, sejak Datuk Seri Najib Razak menerajui kepimpinan tertinggi parti itu, pelbagai skandal kewangan membabitkannya dilaporkan media tempatan dan antarabangsa.

Susulan itu, pelbagai tekanan turut diberikan rakyat mendesak pengundurannya sebagai Perdana Menteri susulan pelaksanaan dasar pentadbirannya yang dilihat tidak membantu rakyat secara menyeluruh.

Malah, pimpinan lama parti itu turut tampil ke hadapan mengkritik kegagalan pentadbiran Najib mengurus kewangan dan kebajikan negara.

Antara yang paling lantang, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri kabinet, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Rais Yatim dan Tun Daim Zainudin.

Mohamed Azmin berkata, pentadbiran Najib kini gagal mendepani isu kebajikan rakyat yang akhirnya memaksa masyarakat terpaksa bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

“Isu besar negara kita ini berkait soal ekonomi dan harga barang yang terlalu tinggi dan menyebabkan kos sarah hidup semakin tinggi.

“Rakyat terkesan, bukan sahaja pemandu teksi, penjawat awam atau perniaga tetapi semua rakyat terkesan. Jadi kenapa perlu lagi menyokong Umno?” katanya.

=EZY=