OLEH SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 7 MEI: Kaum India dari seluruh negara menolak keras calon Barisan Nasional (BN) P.108 Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang dianggap tidak sensitif apabila menghina agama dan budaya kaum lain.
Perakara itu disuarakan hampir 80 badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari masyarakat India berkaitan isu demonstrasi tindakan Azhari membawa kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, pada 28 Ogos 2009.
Salah seorang wakil, BT Gana berkata, tindakan Azhari itu satu penghinaan kerana diketahui masyarakat India menganggap lembu adalah tuhan yang disembah.
“Dalam perarakan itu, mereka memijak kepala lembu sebagai protes untuk mengalihkan pembinaan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.
“Oleh itu, kami sebulat suara membantah pencalonan beliau dan kami tidak mahu seseorang yang ektremis keagamaan sebagai wakil rakyat,” katanya ketika sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Malaysian Hindu Sangam, Arun Dorasamy berkata, walaupun perkara itu hampir 10 tahun berlalu, namun tiada tuntutan maaf secara rasmi oleh Azhari kepada kaum India.
“Mahkamah ketika itu menyatakan tindakan Azhari salah dan beliau dikenakan denda RM1,000 serta kami tidak mengambil tindakan lanjut, namun kami tidak mahu orang sebegini dilantik.
“Sememangnya media masa ada melaporkan Azhari ingin memohan maaf kepada kami, namuan hakikatnya perkara itu tidak pernah berlaku.
“Oleh itu, kami menyeru semua rakyat Selangor khususnya di Parlimen Shah Alam untuk tidak mengundi Azhari pada 9 Mei ini,” katanya.
Manakala, calon Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, menolak dakwaan Utusan sidang media itu sebagai senjata menyerang pihak lawannya.
“Perkara ini adalah permintaan persatuan masyarakat India dan bukan motif menyerang secara individu seperti yang didakwa.
“Maka saya nasihatkan kepada Azhari itu memohin maaf secara terbuka kepada seluruh masyarat India dan belajar menghormati agama dan bangsa lain,” katanya.