Categories
SELANGOR

MB yakin ketokohan Exco baru dilantik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yakin ketokohan dan kewibawaan Exco yang baru dilantik akan dapat menggalas tanggungjawab penuh demi pembangunan Selangor.

Beliau berkata selaras mandat yang diamanah rakyat, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

“Saya yakin ketokohan dan kewibawaan Exco-excodilantik akan menggalas amanah ini bagi memastikan pembangunan Selangor dan kesejahteraan rakyat terus dibela serta dijunjung.

“Saf kepimpinan baru ini mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Semua pelantikan melalui proses yang baik dan lancar,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Angkat Sumpah Simpan Rahsia Rasmi MMKN, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin memaklumkan pelantikan Exco 70 peratus muka baru itu sebagai rombakan biasa selepas menghadapi Pilihanraya Umum.

“Ini proses rombakan biasa dalam setiap pilihanraya umum, bukan bermaksud Exco lama tidak memberi sumbangan.

“Tetapi, tenaga dan idea baru akan membawa Selangor lebih progresif, dinamik bersama pimpinan lama.

“Gandingan ini akan membantu pelaksanaan tugas berjalan lancar secara efektif dan berkesan,” katanya.

=EZY=