Categories
SELANGOR

MBSA sedia 164 RORO percuma sempena Aidilfitri

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 MEI: Sebanyak 164 tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara percuma bagi memudahkan orang ramai membuang sampah pukal sempena Sambutan Aidilfitri.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, perkhidmatan itu ditempatkan di beberapa lokasi secara berperingkat bermula 28 Mei sehingga 10 Jun depan.

“Tong RORO bersaiz tiga tan itu akan diletakkan dibeberapa kawasan sekitar Shah Alam antaranya Seksyen 1 hingga Seksyen 36 dan Seksyen U1 hingga Seksyen U20.

“Orang ramai boleh membuang sampah pukal yang melibatkan perabut lama dan barangan elektrik seperti almari, sofa, tilam, katil, peti ais, radio, televisyen, pengecas bateri, telefon bimbit dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, hal itu bertujuan memberi kemudahan kepada penduduk melaksanakan aktiviti gotong royong di setiap kediaman masing-masing ketika musim perayaan.

Selain itu, penyediaan perkhidmatan ini juga bakal memberikan didikan kepada warga Shah Alam tentang pengurusan sampah pukal dengan cara betul dan menjaga alam sekitar.

“MBSA berharap penduduk Shah Alam dapat memberikan kerjasama dengan bagi memudahkan kontraktor membuat kutipan dan menjaga kawasan sekitar agar berada dalam keadaan bersih dan selesa,” katanya.