Categories
NASIONAL

Mohamad Sabu terima kunjungan Kementerian Pertahanan UK

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat pertama daripada Kementerian Pertahanan United Kingdom (UK) di Pejabat Kementerian Pertahanan, hari ini.

Kunjungan tersebut diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan UK, Gavin Williamson yang tiba sekitar jam 8.50 pagi tadi, lapor Bernama.

Ketibaannya disambut dengan kawalan kehormatan utama melibatkan 108 pegawai dan anggota daripada Rejimen Pertama Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Izhan Ahmad Rashidi.

Kunjungan kali pertama itu antaranya bertujuan memperkukuhkan hubungan dua hala kedua negara selain bertukar pandangan dan perkongsian maklumat bagi kebaikan serantau.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang.