Categories
NASIONAL

Mohd Shukri dilantik KP SPRM, berkuat kuasa 18 Mei

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 21 MEI: Mantan Timbalan Pesuruhjaya (Operasi), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu,untuk tempoh dua tahun, berkuatkuasa 18 Mei lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa berkata, pelantikan itu diperkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V, bagi tempoh dinyatakan.

“Adalah dimaklumkan selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694). DYMM Yang Dipertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Mohd Shukri, mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh dua tahun mulai 18 Mei 2018,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, YDPA turut berkenan menamatkan pelantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad untuk jawatan sama, berkuat kuasa 14 Mei lalu tanpa perlu memberi notis 30 hari seperti dalam surat cara pelantikannya.

Mohd Shukri menggantikan Dzulkifli selepas beliau diumumkan mengambil alih jawatan itu oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, pada 17 Mei lalu.

Dzulkifli meletak jawatan dalam suruhanjaya itu, pada 14 Mei lalu.