Categories
SELANGOR

MPK tidak mahu kes keracunan makanan gara-gara bazar Ramadan

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 24 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak mahu kes keracunan makanan berlaku dalam kalangan pembeli bazar Ramadan.

Pengarah Kesihatan MPK, Azmi Muji berkata, pihaknya mengadakan pemeriksaan kesihatan mengejut terhadap semua peniaga di 37 lokasi bazar Ramadan.

Katanya, MPK memberi tumpuan kepada jualan lauk-pauk terutama daging memandangkan ia adalah menu popular pada bulan Ramadan.

“Malah MPK akan turut mengambil sampel makanan dan minuman daripada peniaga bazar sekiranya ia disyaki tidak selamat.

“Operasi mengejut ini akan dilakukan lebih kerap sekiranya MPK menerima aduan lebih banyak daripada orang ramai.

“Sehingga kini, MPK berpuas hati dengan tahap kebersihan ditunjukkan peniaga bazar Ramadan di sekitar Klang,” katanya.

Azmi juga menggesa peniaga bazar Ramadan mematuhi tahap kebersihan ditetapkan termasuk melupuskan makanan dengan betul serta membersihkan tapak niaga.

Katanya, operasi pemeriksaan bermula sejak minggu lalu dengan pemeriksaan suntikan kepialu (typhoid) diwajibkan kepada peniaga termasuk pengendali makanan.

“Sekiranya peniaga gagal menunjukkan bukti suntikan, kita akan serahkan notis dan sekiranya mereka masih berdegil, berkemungkinan ada yang tidak boleh menjalankan perniagaan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, pemeriksaan kesihatan turut dilakukan di restoran.

“Kompaun akan dikenakan terhadap peniaga yang melanggar peraturan keselamatan makanan,” katanya.

Bermula Januari hingga April tahun ini, 485 restoran diperiksa dan 59 kompaun dikeluarkan manakala dua premis ditutup selama seminggu di bawah undang-undang tempatan majlis.