OLEH SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 4 MEI: Calon Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz menyatakan keyakinannya bahawa Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah parti sebenar yang membwa legasi perjuangan Allahyarham bapanya, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Omar berkata, beliau sendiri melihat bagaimana bapanya berjuang dalam gerakan Islam dan politik serta yakin keputusan menyokong parti gabungan itu adalah paling tepat.
“Keluarga terdekat memang pada awalnya memberi tekanan dan memaksa seolah ambo keluar agama dan khianat perjuangan tok guru.
“Tetapi ambo adalah anak yang membawa legasi tok guru dan keyakinan itu kuat melihat pendekatan dibawa PAKATAN sama dengan apa dibawa ayahanda ambo,” katanya dalam loghat Kelantan ketika menjawab soalan salah seorang pengundi, di DUN Kota Anggerik.
Terdahulu, beliau menyertai majlis minum petang bersama penduduk setempat, di padang futsal Seksyen 8, di sini.
Nik Omar turut yakin PAKATAN mempunyai kekuatan untuk melawan Barisan Nasional, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pada masa sama, katanya, beliau tetap menghormati pendirian PAS dalam situasi politik semasa, hari ini.