Categories
NASIONAL

Pahlawan dakwa pegawai kanan ATM terima rasuah PRU14

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 26 MEI: Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tujuh pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipercayai menerima rasuah sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Presiden Pahlawan, Asri Buang berkata, pegawai-pegawai tersebut juga dipercayai menyalahguna kuasa dengan membuat paksaan undian bagi tujuan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Pihak kami sudah mengumpul beberapa bukti untuk diserahkan kepada SPRM hari ini termasuk jumlah wang rasuah diterima serta senarai penyalahgunaan aset kerajaan sepanjang PRU14 dan juga PRU13.

“Buat masa ini kami tidak boleh mendedahkan lagi jumlah wang berkenaan kerana ia masih di peringkat awal laporan, namun apa yang boleh Pahlawan maklumkan ialah bukti Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) menjadikan bangunan mereka sebagai kem untuk BN ternyata adalah kesalahan paling ketara pada PRU14,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung Pahlawan, Husnal Az Hari Sanusi berkata, Pahlawan juga percaya terdapat pegawai kanan ATM yang memberi tekanan kepada anggota tentera untuk memilih hanya satu parti ketika membuat undian awal.

Katanya, ia jelas dilihat melalui keputusan undi awal yang memihak kemenangan kepada BN pada mulanya.

“Namun apabila undi rakyat dikira, kesemua calon BN kalah teruk, jadi kita menggesa supaya SPRM siasat segera kes ini kerana kami tidak mahu kepincangan berlaku di kalangan pegawai atasan ATM.

“Pahlawan melihat trend menekan anggota bawahan memilih parti tertentu bermula sejak PRU13, berbanding tahun 90an perkara sebegini tidak berlaku, sepatutnya anggota tentera mahupun penjawat awam berhak memilih parti yang mereka suka bukannya dipaksa,” katanya.