Categories
SELANGOR

Pembangunan pesat Hulu Langat beri kesan besar

OLEH HAFIZAN TAIB

SERI KEMBANGAN – Kepesatan pertumbuhan dan pembangunan bandar memberi kesan cukup besar kepada daerah Hulu Langat daripada segi pembangunan guna tanah dan pelaksanaan projek dijalankan, di kawasan itu.

Orang Besar Daerah Hulu Langat, Dato’ Engku Abdul Jalil Abdul Rani berkata, pelbagai projek dirangka untuk dilaksanakan di daerah itu sepanjang tahun ini dengan anggaran perbelanjaan melebihi RM50 juta.

“Sebanyak 82 projek pembangunan sudah dilaksanakan dengan peruntukan RM4.2 juta berdasarkan data daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, sehingga Mei ini.

“Antara projek disiapkan ialah menaiktaraf balai raya dengan kos RM940,000, menaiktaraf jalan kampung dan longkang (RM855,000), penyelenggaraan jalan raya negeri dan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya RM2.5 juta) serta Tabung Wang Amanah Infra Perkuburan (RM655,000),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis berbuka puasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bersama rakyat serta penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada fakir, miskin dan saudara baharu juga perasmian masjid di Masjid Taman Taming Jaya, di sini, baru-baru ini.

Manakala pembangunan seterusnya, katanya, ia membabitkan pembangunan institusi agama seperti masjid dan sekolah agama yang akan dilaksanakan Jabatan Agama Islam Selangor.

“Antara pembinaan itu ialah masjid baharu di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, dengan kos RM9.2 juta dijangka siap pada Ogos dan masjid baharu di Bukit Belimbing, Balakong, (RM14 juta) dijangka siap. pada November ini.

“Ia termasuk pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Pandan Indah, Ampang, (RM29 juta) yang mula dibina, pada April lalu,” katanya.

Beliau berkata, perasmian Masjid Taman Taming Jaya bernilai RM5 juta dibiayai Kerajaan Negeri yang disempurnakan Sultan Sharafuddin memberi makna besar kepada masyarakat setempat, di kawasan itu.

“Diharapkan, ia dapat menarik umat Islam di sekelilingnya untuk beribadah, sekali gus dapat dijadikan tempat penyatuan ummah, di taman ini,” katanya.

Menyertai Sultan Sharafuddin dalam majlis itu ialah Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Shaharuddin Badaruddin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri iaitu Dr Siti Mariah Mahmud, Dato’ Abdul Rashid Asari dan Hee Loy Sian.