Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Pembantu pengajar bantu guru galas amanah

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Kerajaan akan mengurangkan bebanan tugas pentadbiran dipikul guru dengan mewujudkan jawatan pembantu pengajar bagi menggalas peranan berkenaan.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pendekatan dilakukan itu berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) peka dengan cabaran dan isu utama dihadapi golongan terbabit.

“Sepertimana termaktub di dalam Buku Harapan, kami komited untuk memastikan guru dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam mendidik para pelajar.

“Akses dan kebolehgunaan sistem teknologi maklumat di sekolah juga akan diperbaiki supaya pengajaran lebih interaktif dan berkesan bagi mencerminkan prestasi pendidikan yang meningkat,” katanya dalam kenyataan media sempena Hari Guru 2018 yang disambut setiap 16 Mei.

Dr Wan Azizah yang akan menggalas tanggungjawab selaku Timbalan Perdana Menteri berkata, hari guru disambut bagi memperingati jasa dan pengorbanan guru serta mengiktiraf peranan penting dimainkan dalam pembinaan negara serta bangsa.

Katanya, biasiswa khas juga akan diwujudkan untuk guru yang mahu menyambung pengajian dan latihan professional.

“Harapan kami agar usaha ini dapat mengangkat martabat dan meningkatkan kecekapan guru di negara ini terutama sebagai pendidik generasi mendatang.

“Kepada semua guru tercinta dan disanjungi, terima kasih dan Selamat Hari Guru buat anda,” katanya.

=EZY=