Categories
NASIONAL RENCANA

Pembebasan Anwar jadi tumpuan dunia

OLEH NAEEM RAFFI

Berdasi hitam, bertali leher merah hati, Anwar kelihatan segak dengan sekuntum senyum manis yang tidak lekang sambil melambai mesra kumpulan besar petugas media dan rakyat yang menanti detik pembebasan Ketua Umum KEADILAN itu.

Ia adalah pembebasan sedikit awal buat Anwar yang sepatutnya dilepaskan pada 8 Jun depan. Bagaimanapun, ia berubah susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) minggu lepas yang menyaksikan kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) itu menyaksikan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamed bergerak pantas mendapatkan pengampunan buat Anwar sekali gus membolehkannya dilepaskan dari tirai besi lebih awal.

Dari Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur, Anwar ditemani Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kemudiannya terus bergegas menuju ke Istana Negara.

Ia bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang sebelum ini menitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh ke atas Anwar dibenarkan dan diberi pembebasan serta-merta.

Pembebasan ini cukup bermakna buat rakyat susulan kemenangan menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang sudah 61 tahun mentadbir dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei lalu.

Malah, ia lebih bermakna buat keluarga Anwar dan keluarga besarnya (rakyat) apabila pembebasan Anwar itu berlaku sehari sebelum umat Islam menyambut bulan penuh barakah, Ramadan.

Liputan Meluas Antarabangsa

Seperti diramal, berita pembebasan Anwar menjadi tajuk akhbar dan portal seluruh dunia. Hampir semua portal berita dan stesen televisyen antarabangsa turun membuat liputan mengenainya.

Agensi berita BBC News yang berpangkalan di United Kingdom memilih tajuk ‘Malaysia’s Anwar Ibrahim freed from jail after Mahathir election win’.

Al Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar juga tidak ketinggalan mendapat perhatian pelayar internet mengenai pembebasan Anwar dengan tajuk ‘Malaysia: Anwar Ibrahim released after getting full pardon’.

Tidak ketinggalan rantau Afrika termasuk Kenya, Nigeria dan Somalia serta Afrika Selatan memaparkan berita itu sebagai tajuk utama sekitar jam 3 petang tadi sebagai berita terkini.

Manakala di rantau Asia, The Straits Times Singapura mencuri perhatian pelayar internet dengan memuat naik 13 keping gambar beserta kepsyen sekitar detik pembebasan Anwar.

Sementara, akhbar utama di Jepun, Asahi Shimbun memilih ‘Malaysia icon Anwar Ibrahim freed, given royal pardon’ sebagai tajuk yang dimuat naik sejak jam 1.15 petang tadi.

=EZY=