Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pembebasan Anwar penuh makna

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 16 MEI: Pembebasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dianggap penghargaan penuh bermakna kerana ia berlaku ketika umat Islam di negara ini meraikan kedatangan Ramadan.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, detik penuh bersejarah sekian lama dinantikan adalah kemenangan bagi parti itu dan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas pilihan raya umum ke 14 (PRU14).

“Esok (hari ini) kita akan mula menunaikan solat Tarawikh dan ia satu penghargaan penuh bermakna kerana Anwar bebas untuk menyambut Ramadan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menyambut Pelantikan Timbalan Perdana Menteri di Padang Perbandaran Ampang Jaya, di sini, malam tadi.

Dr Wan Azizah akan menggalas tanggungjawab selaku Timbalan Perdana Menteri berkata, Anwar dijangka akan dibebaskan dari Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) selepas Lembaga Pengampunan dipengerusikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V mengadakan persidangan bagi penyelesaian perkara itu hari ini.

Katanya, lembaga itu akan memuktamadkannya pada perbincangan pada kira-kira jam 11 pagi dan seperti mana dimaklumkan pengampunan akan diselesaikan selepas itu.

“Kita akan mengadakan satu perhimpunan bagi menyambut kepulangan Anwar di Padang Timur, Amcorp Mall.

“Anwar dijangka akan tampil pada kira-kira jam 10 malam,” katanya.

=EZY=