Categories
SELANGOR

Penduduk resah banjir lumpur akibat Lebuhraya SUKE

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 2 MEI: Penduduk Taman Melur Fasa 2 dan 3 di sini bimbang kejadian banjir lumpur yang berlaku pada Mac lalu berulang kembali.

Pengerusi Surau Ittihadiyah Taman Melur, Abdul Rashid Harun berkata, kejadian tersebut berlaku gara-gara pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang terletak kurang 500 di belakang taman berkenaan.

Katanya, pembinaan yang telah bermula sejak tahun lalu itu tidak mendatangkan masalah pada awalnya.

“Tetapi pada 15 Mac yang lalu, hujan lebat berlaku dan secara tiba-tiba air lumpur membanjiri belakang rumah saya dan kemudiannya memenuhi jalanraya.

“Situasi lebih membimbangkan apabila pokok-pokok mati yang ditebang turut dihanyutkan, namun ia bernasib baik kerana tidak jatuh ke bawah yang dipenuhi dengan rumah penduduk,” katanya.

Abdul Rashid tidak menafikan pihak pemaju turun padang membersihkan kawasan banjir dan turut membina benteng penghalang selepas kejadian berkenaan.

Namun ia bukanlah jaminan perkara tersebut tidak mungkin akan berlaku berikutan pembinaan lebuhraya masih sedang dijalankan.

Sementara itu bagi seorang penduduk, Mashitah Zahari, 32 berkata, dia sekeluarga tidak lena tidur malam sekiranya hujan lebat berlaku.

“Tahun ini saja dua kali kami dilanda banjir lumpur, walaupun benteng sudah dibina, ia juga mendatangkan masalah kerana ia begitu dekat dengan kawasan rumah.

“Saya berharap supaya pihak pemaju akan sentiasa memantau benteng dan juga takungan air di belakang rumah kami, katanya ia untuk mengurangkan aliran air masuk ke taman penduduk,” katanya.

Kedua-duanya ditemui ketika sesi lawatan tapak oleh Calon N22 Teratai Lai Wai Chong bersama Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohammad Samad.

Wai Chong berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah penduduk Taman Melur Fasa 2 dan 3 itu.

“Saya melihat pemaju sudah wujudkan sistem mitigasi yang baik bagi mengatasi masalah banjir lumpur, namun saya menggesa supaya kolam tadahan air hujan yang dibina sentiasa diselenggara.

“Ini kerana mungkin sampah dan sebagainya akan masuk ke situ dan kemudiannya limpahan air hujan akan kembali membanjiri kawasan taman,” katanya.

Sementara itu Mohammad berkata, pihak MPAJ sentiasa memandang berat masalah banjir yang berlaku di kawasan berkenaan.

“Ini adalah kes terbaru yang kami terima dan selepas ini ia akan dipantau oleh majlis dengan lebih kerap supaya penduduk tidak bimbang,” katanya.