Categories
NASIONAL

Pengundi luar negara kecewa tak terima kertas undi pos

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 MEI: Warganegara Malaysia yang menetap di luar negara kecewa gara-gara masih tidak menerima kertas undi pos daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga hari ini.

Muhammad Hidayat Shafie yang kini bertugas di Arab Saudi meluahkan rasa kecewanya di Facebook ekoran kegagalan SPR berkenaan.

Katanya, terdapat ramai rakannya yang turut bekerja di Saudi tidak menerima kertas yang ditunggu sejak minggu lalu.

“Berbanding dengan pilihan raya lalu, SPR akan menghantar kertas undi pos di kedutaan selepas selesai urusan pendaftaran, bezanya kali ini SPR memaklumkan akan menghantar kertas undi pos kepada alamat kami, anehnya sampai ke hari ini ia masih belum tiba, kami sangat kecewa.

“Lebih menyedihkan apabila perkara ini turut berlaku kepada ramai rakan saya yang bekerja di luar negara termasuk Australia, Ireland dan sebagainya, jika kertas undi diterima lambat, tidak mungkin ia sampai pada 9 Mei yang tinggal dua hari saja lagi,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, pihaknya memberi jaminan semua kertas undi terbabit akan sampai di tangan pengundi dan menghantarnya semula kepada pegawai pengurus pilihan raya kawasan pengundian masing-masing sebelum jam 5 petang, pada 9 Mei ini.

Sementara itu Pengarah Eksekutif BERSIH, Yap Swee Seng menempelak SPR dengan mengatakan masih ramai pengundi belum menerima kertas undi pos walaupun hari pengundian bakal berlangsung dua hari lagi.

Beliau berpendapat SPR tidak boleh menyalahkan Pos Malaysia, yang bertanggungjawab untuk mengeposkan undi kepada pengundi pos dalam negeri dan luar negara, kerana SPR yang memutuskan tempoh berkempen 11 hari antara hari penamaan calon pada 28 April ke hari pengundian pada 9 Mei.

“Saya fikir kita tidak patut menyalahkan Pos Malaysia. Keseluruhannya, SPR yang mesti dipersalahkan kerana hampir menjadi misi mustahil Pos Malaysia untuk menghantar kertas undi ke semua tempat di dunia dalam masa yang singkat,” katanya.