Categories
SUKANKINI

Peransang Selangor taja RM150,000 Piala Dato’ Mokhtar Dahari

OLEH HAZIQ ISMAIL

SUBANG JAYA, 15 MEI: Kumpulan Peransang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) sekali lagi menjadi penaja utama, Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari (PDMD) 2018 yang menjadi medan uji bakat pemain remaja bola sepak di bawah 18 tahun.

Kejohanan itu menyaksikan 32 pasukan bawah 18 tahun dari seluruh Selangor berentap merebut kejuaraan.

Ketua Pegawai Operasi, Perangsang Selangor, Suzila Khairuddin berkata, kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan.

“Sejak penganjuran edisi pertama sehingga kini, Perangsang Selangor mengambil inisiatif untuk menaja kejohanan PDMD dengan dana berjumlah RM700,000 dalam usaha untuk menggilap bakat pemain bola sepak remaja ke peringkat lebih tinggi.

“Untuk tahun ini, pihak kami menyuntik dana RM150,000 untuk menaja kejohanan itu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Kejohanan PDMD, Dato’ Emran Kadir berkata, kejohanan itu bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan bola sepak dalam kalangan pelajar sekolah seluruh Selangor.

“Banyak kelab bola sepak di luar sana memang menantikan kejohanan ini sebagai sumber untuk mereka mendapatkan pemain-pemain baharu.

“Sehingga siri keempat penganjuran kejohanan ini, dianggarkan seramai 94 orang pemain telah dilahirkan dan kini bermain untuk kelab-kelab utama dalam negara ini,” katanya.

Pada kejohanan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun Tanjung Karang berjaya mempertahankan kejuaraan, selepas menewaskan SMK Tropicana, Petaling Jaya dengan jaringan besar 7-0 di Stadium Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Juara bagi kejohanan PDMD membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta piala dan pingat, manakala tempat kedua (RM7,000), ketiga (RM5,000) dan keempat (RM3,000).