Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Perdana Menteri umum Menteri Pelajaran dan Menteri Wanita

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 17 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan dirinya sebagai Menteri Pelajaran.

Manakala, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dilantik sebagai Menteri Wanita, Kebajikan dan Masyarakat.

“Portfolio itu merangkumi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi yang akan digabungkan.

“Menteri Pelajaran ini disatukan buat sementara. Dan dua kementerian disatukan jadi satu sahaja,” katanya dalam sidang media di Menara Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, pihaknya cuba mendapatkan 13 menteri bagi mengangkat sumpah pada Isnin (21 Mei ini) jika mendapat perkenan istana.

“Kementerian lain belum diputuskan kerana berlaku pertindihan antara parti,” katanya.

Pada 12 Mei lalu, Mahathir mengumumkan pelantikan tiga jawatan kementerian kanan.

Antaranya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sebagai Menteri Kewangan dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, menggalas tanggungjawab Menteri Pertahanan.

Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanggungjawab untuk Kementerian Dalam Negeri.