Categories
SELANGOR

Perkasa golongan OKU, IWB terus diperkukuh

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MEI: Pemerkasaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) supaya terbabit secara langsung dengan pembangunan Selangor menjadi tumpuan Dr Siti Mariah Mahmud.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga itu berkata, perancangan terbabit adalah pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap OKU supaya mereka tidak terpinggir.

“Kita mahu mereka mempunyai potensi dan berdikari meneruskan kehidupan, justeru kita akan merangka strategi memberdaya kebajikan serta memperkasa golongan ini.

“Saya juga akan berbincang dengan semua pihak bagi mendapatkan maklum balas dalam pelbagai aspek bagi merangka strategi seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Simpan Rahsia Rasmi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), di SUK, di sini.

Pada masa sama, Dr Mariah yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Serdang berkata, beliau akan meneruskan kesinambungan kerja dari penyandang terdahulu, juga memperkukuhkan peranan Institut Wanita Berdaya (IWB).

Selain itu, katanya, aspek pembangunan keluarga juga akan diberi perhatian kerana ia membabitkan peranan untuk mendidik masyarakat serta ibu bapa.

“Saya melihat ini sangat penting kerana untuk melaksanakan hasrat rakyat, kita perlu mendengar terlebih dahulu pandangan mereka yang terbabit secara terperinci.

“Ilmu pengetahuan berhubung aspek keibu bapaan bukan kemahiran yang boleh dipelajari di universiti dan ramai yang memperoleh ilmu itu selepas mereka berkahwin.

“Disebabkan itu, terdapat sebahagiannya melakukan banyak kesilapan di awal perkahwinan, jadi amat penting untuk saya sediakan bakal pasangan yang akan memulakan hidup baru dengan idea atau ilmu perkahwinan atau pembangunan keluarga supaya mereka lebih bersedia,” katanya.

Dr Mariah sebelum ini adalah Ahli Parlimen Kota Raja sejak 2008 dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Kaherah, Mesir dan Sarjana Fisiologi dari University of London United Kingdom serta Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.