PESANAN
YANG AMAT BERBAHAGIA TUN DR MAHATHIR MOHAMAD
PENGERUSI PAKATAN HARAPAN
DAN CALON P004 LANGKAWI
KEPADA PARA PENGUNDI
SEMPENA PILIHANRAYA UMUM KE-14
DI RALI HARAPAN DEWAN HO PING, KUAH
LANGKAWI, KEDAH
8HB MEI, 2018
1. ESOK KITA AKAN MENGUNDI. MENGUNDI ADALAH TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA. UNDI KITA MENENTUKAN NASIB KITA DAN ANAK CUCU KITA.
2. BAGI ORANG MELAYU PRU INI BUKAN SEMATA-MATA UNTUK CARI KEMENANGAN BAGI PARTI POLITIK TETAPI JUGA UNTUK MENEBUS MARUAH BANGSA.
3. IBU BAPA KITA DAHULU BERJUANG UNTUK MEMBEBASKAN KITA DARI BELENGGU PENJAJAHAN. SEKALI GUS MARUAH KITA TERTEBUS DAN KITA MENJADI BANGSA YANG BERDAULAT YANG BOLEH TENTUKAN NASIB KITA SENDIRI.
4. DAN SEBENARNYALAH SETELAH MERDEKA KITA DAPAT BUKTIKAN KEPADA DUNIA BAHAWA KITA BOLEH DAN KITA MAMPU MENTADBIR DAN MEMBANGUNKAN NEGARA KITA. KEJAYAAN KITA JAUH LEBIH TINGGI DARI BANYAK NEGARA-NEGARA LAIN YANG MENCAPAI KEMERDEKAAN BERSAMA KITA.
5. NEGARA BERBILANG KAUM KITA AMAN DAN PEMERINTAHAN BERASAS UNDANG-UNDANG DAPAT KITA LAKSANAKAN.
6. YA, PADA TAHUN 1969 TERCETUSLAH RUSUHAN KAUM. RAMAI PEMERHATI LUAR DAN RAKYAT JUGA BERPENDAPAT HABISLAH MALAYSIA, HABISLAH DEMOKRASI MALAYSIA.
7. TETAPI, DALAM JANGKA MASA YANG PENDEK SAHAJA, TANPA BERGANTUNG KEPADA SESIAPA, KEAMANAN DIKEMBALIKAN DAN PENTADBIRAN BERASAS UNDANG-UNDANG DIKUATKUASA SEMULA.
8. WALAUPUN ADA YANG BERPENDAPAT KERAJAAN MAGERAN PATUT DITERUSKAN, TETAPI PEMIMPIN KETIKA ITU TOLAK JALAN YANG MUDAH. DAN MALAYSIA MEMULIH SEMULA IMEJNYA DAN PEMBANGUNANNYA DIIKTIRAF DUNIA SEBAGAI HARIMAU ASIA – TIGER OF ASIA.
9. SEPATUTNYA NEGARA BERTUAH INI AKAN TERUS MAJU DAN MENJADI NEGARA MAJU PADA TAHUN 2020.
10.MALANGNYA PEMERINTAHAN OLEH PERDANA MENTERI KE-ENAM TELAH MEMBAWA MALAPETAKA. DARIPADA PERJUANGAN UNTUK BANGSA, NEGARA DAN AGAMA NAJIB MEMBAWA KEPERCAYAAN BAHAWA SEGALA-GALANYA BOLEH DIBELI DENGAN WANG.
11.SEKARANG NEGARA KITA SUDAH TIDAK LAGI DIKENAL SEBAGAI TIGER OF ASIA. SEBALIKNYA DUNIA PANDANG HINA KEPADA KITA, MENYENARAIKAN KITA SEBAGAI SATU DARI SEPULUH NEGARA YANG AMALAN RASUAHNYA TERTINGGI. JUGA KITA TIDAK LAGI DITAKRIF SEBAGAI DEMOKRASI. SEBALIKNYA KITA DIKENALI SEBAGAI KLEPTOKRASI – NEGARA PIMPINAN PERASUAH DAN PENCURI.
12.MARUAH KITA JATUH MENJUNAM. KITA MALU NAK DIKENALI SEBAGAI ORANG MALAYSIA.
13.KITA HANYA BOLEH PULIHKAN MARUAH KITA JIKA KITA TUKAR KERAJAAN, DIGANTI OLEH PARTI YANG TERHAD KUASANYA SEHINGGA TIDAK MUNGKIN KUASA DISALAHGUNA SEPERTI SEKARANG. UNTUK INI KITA PERLU KALAHKAN KERAJAAN PIMPINAN NAJIB, BN DAN UMNO YANG SUDAH DIROSAKKAN OLEH NAJIB.
14.PILIHANRAYA KE 14 INI JELAS TIDAK SEPERTI PRU YANG TERDAHULU.
15.DAHULU PEMBANGKANG TIDAK PUNYAI HARAPAN MENGALAH DAN MENJATUHKAN KERAJAAN BARISAN NASIONAL (BN).
16.DAHULU PEMBANGKANG HANYA BERCITA-CITA MENJADI PEMBANGKANG YANG KUAT, YANG MAMPU MENEGUR KERAJAAN. TIDAK LEBIH DARI ITU.
17.RAKYAT JUGA BEGITU. MEREKA BERPENDAPAT TIDAK BANYAK PERUBAHAN YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH PEMBANGKANG. DENGAN ITU SOKONGAN RAKYAT KEPADA PEMBANGKANG TIDAK MENINGKAT TINGGI, TIDAK DAPAT MEMBERI KEMENANGAN KEPADA PEMBANGKANG.
18.DAN BN, PARTI KERAJAAN PUN TERUS MENANG DAN TERUS MENDIRI KERAJAAN.
19.TETAPI KALI INI, PRU KE 14 INI, TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB PEMBANGKANG TIDAK SAHAJA SETAKAT MEMBANGKANG TETAPI PEMBANGKANG MESTI KALAHKAN BN DAN DIRI KERAJAAN BARU.
20.BUKANLAH MUDAH MENJATUH PARTI KERAJAAN. SEGALA-GALANYA BERGANTUNG KEPADA SOKONGAN MENYELURUH DARI RAKYAT KEPADA GABUNGAN PARTI PEMBANGKANG. HANYA JIKA RAKYAT SEDAR AKAN KEROSAKAN YANG TELAH DILAKUKAN OLEH NAJIB SEBAGAI PERDANA MENTERI; KEHANCURAN INSTITUSI-INSTITUSI KERAJAAN SEHINGGA PENDAKWA RAYA, POLIS DAN LAIN-LAIN INSTITUSI KERAJAAN TIDAK LAGI DIPERCAYAI OLEH MASYARAKAT KERANA TIDAK LAGI DAPAT MENEGAK UNDANG-UNDANG, BEBAN HUTANG YANG AMAT BERAT YANG DILETAK DIBAHU KITA DAN ANAK CUCU KITA SELAMA PULUHAN TAHUN; HANYA KALAU RAKYAT SEDAR DAN AMBIL BERAT BERKENAAN HAL-HAL NEGARA SERTA MENOLAK KEMUNGKARAN, BARULAH NEGARA BOLEH DISELAMATKAN DARI MALAPETAKA YANG MENGANCAM MASA DEPAN KITA. KESEDARAN RAKYAT PERLU DITERJEMAH KEPADA UNDI BAGI KEBAIKAN.
21.UNDI RAKYAT AMATLAH PENTING KALI INI. HANYA UNDI KITA YANG BOLEH SELAMATKAN NEGARA KITA DAN NASIB BURUK YANG AKAN MENIMPA KITA DAN ANAK CUCU KITA JIKA KERAJAAN SEKARANG DITERUSKAN.
22.NEGARA KITA DIDUDUKI OLEH KAUM-KAUM YANG BERBAGAI BUDAYA, NILAI HIDUP DAN KECAPAIAN. DIKALANGAN WANITA PERBEZAAN INI AMATLAH KETARA. TETAPI KITA MEMPUNYAI SIFAT TOLERAN, IAITU SIFAT BERTIMBANG RASA ANTARA KITA.
23.ORANG MELAYU YANG BERAGAMA ISLAM HENDAKLAH BERPEGANG KEPADA NILAI-NILAI ISLAM YANG BENAR DAN BUKAN YANG DICIPTA ORANG TERTENTU. ADA NEGARA YANG TIDAK TOLERAN YANG INGIN PAKSA SUPAYA HANYA SATU BUDAYA SAHAJA YANG DIBENAR. INI MENCETUSKAN KETEGANGAN ANTARA KAUM.
24.DI MALAYSIA, DEMI KEAMANAN, KITA PERLU TERIMA BUDAYA DAN NILAI HIDUP YANG BERBEZA. INI TERKENA TERUTAMANYA KEPADA KAUM WANITA DARI BANGSA DAN KAUM YANG BERBEZA. PAKAIAN, CARA HIDUP, SELERA BERBEZA DAN KITA MASIH BOLEH ELAK DARI BERTEGANG KERANA PERBEZAAN-PERBEZAAN INI. ALLAH MENJADIKAN MANUSIA BERBILANG KAUM SUPAYA MEREKA BERKENAL-KENALAN.
25.PAKATAN HARAPAN PERCAYA KEPADA HAK ASASI MANUSIA TETAPI TIDAKLAH BEGITU LIBERAL SEHINGGA TIDAK ADA HAD KEPADA KEBEBASAN SAMA SEKALI. SEGALA TUNTUTAN NAFSU YANG KETERLALUAN TIDAK DIBENARKAN.
26.PEMERINTAHAN PAKATAN HARAPAN AKAN BERTIMBANG RASA TERHADAP KELAINAN BUDAYA KAUM WANITA BERBAGAI KAUM. TETAPI TIDAK SEHINGGA KETERLALUAN.
27.SELAIN DARI ITU KITA INGIN LIHAT KAUM WANITA DIBERI KESAMAAN DENGAN LELAKI DALAM PEMBAYARAN UPAH, PELUANG PELAJARAN DAN PEKERJAAN DAN MEMIKUL TUGAS YANG MAMPU DIPIKUL OLEH KAUM WANITA. DISKRIMINASI YANG TIDAK ADIL TERHADAP WANITA AKAN DIHAPUSKAN.
28.BAGI GOLONGAN MUDA PULA, SEGALA USAHA YANG DILAKUKAN HENDAKLAH MENGAMBILKIRA MASA DEPAN MEREKA. PEMUDA-PEMUDI ADALAH PERWARIS SEGALA-GALA YANG KITA USAHA SEKARANG, MEREKA MESTI DIBERI SUARA LEBIH AWAL. MEREKA TENTU LEBIH TAHU KEHENDAK MEREKA DARI ORANG YANG SUDAH DEWASA. TETAPI GANDINGAN ANTARA YANG MUDA DENGAN YANG TUA PERLU DIADAKAN.
29.ZAMAN TEKNOLOGI MODEN INI LEBIH SESUAI DENGAN MINDA MUDA DARI MINDA TUA. ADA TEKNOLOGI YANG CANGGIH YANG TAK DAPAT DIFAHAM, JAUH SEKALI DARI DIKUASAI OLEH ORANG TUA. HANYA MINDA MUDA SAHAJA YANG TIDAK TERGANGGU DENGAN TEKNOLOGI USANG.
30.GENERASI MUDA MESTI DIBERI SEBANYAK PELUANG DAN LATIHAN SUPAYA TEKNOLOGI MAKLUMAT, SAINS COMPUTER, CIRCUIT DESIGN DAN PROGRAMMING DAPAT DIKUASAI OLEH MEREKA. HANYA DENGAN CARA INI SAHAJA BAHARULAH KITA DAPAT NAIKKAN PENDAPATAN DAN TARAF HIDUP GENERASI MUDA APABILA BEKERJA.
31.SESUNGGUHNYA BANYAKLAH MASALAH YANG PERLU DIPERBAIKI DI NEGARA KITA.
32.ORANG PEREMPUAN, WANITA, KAUM IBU, SRIKANDI, PEMUDA DAN PEMUDI SEMUANYA MENGHADAPI MASALAH. HANYA DENGAN MENUKAR KERAJAAN BARULAH MASALAH-MASALAH INI DAPAT DIBERI PERHATIAN DAN DIREDAKAN.
33.SAYA RAYU SUPAYA RAKYAT MEMBANTU PAKATAN HARAPAN UNTUK MEMULIH DAN MENYELAMATKAN NEGARA TERCINTA INI. RAKYAT SECARA SENDIRIAN TIDAK DAPAT SELAMATKAN DIRI DAN NEGARA.
34.PARTI SEPERTI PAKATAN HARAPAN JUGA TIDAK MUNGKIN PULIH NEGARA BERSENDIRIAN.
35.TETAPI GANDINGAN RAKYAT DAN PARTI BOLEH, INSYAALLAH.
36.OLEH ITU KELUARLAH BERAMAI-RAMAI PADA 9 HARIBULAN MEI DAN UNDILAH PAKATAN HARAPAN DENGAN SIMBOL KEADILANNYA SUPAYA TERSELAMATLAH MALAYSIA DARI KLEPTOKRASI DAN AKAN KEMBALILAH DEMOKRASI DAN PEMERINTAHAN MENGIKUT UNDANG-UNDANG.
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN.
37.DUIT SOGOKAN YANG DIPEROLEHI TIDAK KEKAL. TIDAK LAMA LEPAS DUIT SOGOKAN DITERIMA AKAN HABISLAH DUIT ITU DIBELANJA. JANGANLAH KERANA DUIT YANG SEDIKIT INI KITA SANGGUP GADAI NEGARA KITA SELAMA-LAMANYA. INILAH YANG AKAN BERLAKU JIKA NAJIB TERUS JADI PERDANA MENTERI.
38.JANGANLAH BIAR WILAYAH-WILAYAH MALAYSIA DIJUAL LAGI OLEH NAJIB DAN MENJADI WILAYAH ASING. MENGUNDI NAJIB MENDEDAHKAN NEGARA KITA KEPADA KEHILANGAN BANYAK LAGI WILAYAH. SETAKAT INI PUN SUDAH BESAR KEHILANGAN WILAYAH KITA. NAJIB BERJANJI AKAN TINGKATKAN INDUSTRI PEMBUATAN KITA. TETAPI DENGAN PENJUALAN PROTON KITA TIDAK LAGI MEMPUNYAI KERETA NASIONAL. DAN INDUSTRI KEJURUTERAAN MEMBUAT KOMPONEN KERETA PUN SUDAH TUTUP. BUKAN PERKEMBANGAN INDUSTRI YANG KITA LIHAT TETAPI KEHANCURANNYA.
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN
39.KALI INI BESAR KEMUNGKINAN PERTUKARAN KERAJAAN AKAN BERLAKU. SEGALA PECUBAAN UNTUK MENGHALANG PERTUKARAN INI MUNGKIN AKAN DICUBA. ADALAH DIHARAP PIHAK POLIS DAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA TIDAK AKAN ABAIKAN TANGGUNGJAWAB MEREKA APABILA PERLEMBAGAAN DAN UNDANG-UNDANG NEGARA DICABUL.
40.SESUNGGUHNYA KEAMANAN DAN KESEJAHTERAAN NEGARA BERGANTUNG KEPADA SIKAP PROFESSIONAL MEREKA.
41.SAYA SEDAR SAYA SUDAH TUA. TIDAK ADA BANYAK MASA LAGI UNTUK SAYA. RAMAILAH YANG BERPENDAPAT SAYA PATUT REHAT SAHAJA.
42.YA. SAYA INGIN REHAT. TETAPI RAMAI ROMBONGAN YANG DATANG BERJUMPA SAYA, MEMINTA SAYA BUAT SESUATU UNTUK MENGHENTIKAN KEROSAKAN YANG SEDANG BERLAKU DALAM NEGARA.
43.BANYAK SUDAH KETERANGAN DIBUAT OLEH BANYAK PIHAK DI DALAM DAN DI LUAR NEGERI BERKENAAN DENGAN PERBUATAN TIDAK BAIK YANG TELAH DAN SEDANG DILAKUKAN OLEH KERAJAAN SEKARANG.
44.ROMBONGAN DEMI ROMBONGAN YANG DATANG JUMPA SAYA MENDESAK SUPAYA SAYA MEMBUAT SESUATU BAGI MENYELAMATKAN NEGARA TERCINTA INI. TAK TERGAMAK SAYA MENGHAMPAKAN DESAKAN MEREKA.
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN,
45.INI ADALAH KALI TERAKHIR YANG DAPAT SAYA SUMBANG SEDIKIT DALAM PERJUANGAN UNTUK NEGARA TERCINTA INI.
46.BUKAN JAWATAN YANG SAYA CARI. BUKAN KEKAYAAN DAN BUKAN PANGKAT. YANG ADA PADA SAYA MENCUKUPI.
47.TETAPI KEBAHAGIAAN DAN KEMERDEKAAN NEGARA TERCINTA INI, NEGARA DIMANA KITA DILAHIR, KITA MEMBESAR DAN KITA MENIKMATI KEHIDUPAN YANG SELESA. INILAH SAHAJA YANG SAYA HARGAI – BANGSA SAYA, NEGARA SAYA DAN AGAMA SAYA. YANG DIPERLUKAN DARI KITA HANYALAH MENGUNDI UNTUK KALAHKAN KERAJAAN YANG MENYEMBAH DUIT INI. ITU SAHAJA BAGI KITA. BAGI SAYA JUGA.
48.DI NEGARA LAIN RAKYAT SANGGUP BERMATI-MATIAN MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN DAN KEMERDEKAAN NEGARA MEREKA, MENJATUHKAN PEMERINTAHAN YANG ZALIM.
49.KITA TIDAK PERLU BERKORBAN NYAWA UNTUK SELAMATKAN NEGARA KITA.
50.SEBAB ITULAH SAYA KEMBALI AKTIF DALAM ARENA POLITIK.
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN, SAUDARA-SAUDARI ,
51.KITA HANYA PERLU UNDI.
52.DAN UNDI KEPADA PAKATAN HARAPAN AKAN SELAMATKAN NEGARA TERCINTA INI DARI PIMPINAN CASH IS KING DAN KEMUNGKARANNYA. DI MATA MEREKA, DIRI KITA, MARUAH KITA BOLEH DIBELI DENGAN WANG RINGGIT. BEGITU HINANYA KITA. JANGANLAH BIARKAN BANGSA KITA TERUS DIHINA DAN DIPERKECILKAN SEBEGINI. JANGAN BIARKAN BANGSA KITA TERUS MENERUS DIPERBODOHKAN.
53.SEKALI LAGI SAYA RAYU SUPAYA RAKYAT YANG CINTA NEGARA KELUARLAH PADA 9 MEI; KELUARLAH BERAMAI-RAMAI DAN UNDILAH PAKATAN HARAPAN UNTUK SELAMATKAN NEGARA MALAYSIA.