Categories
SUKANKINI

Piala Thomas: Impian Malaysia berakhir

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 MEI: Skuad badminton negara gagal mara ke separuh akhir apabila tewas 1 – 3 kepada Indonesia dalam perlawanan suku akhir kejohanan Piala Thomas 2018 di Impact Arena, Bangkok, Thailand, malam tadi.

Kegagalan itu mengakhiri cabaran Malaysia dalam edisi kali ini serta mengulangi pencapaian ke peringkat sama, dua tahun lalu.

Dalam perlawanan suku akhir itu, Malaysia sekadar memungut mata tunggal melalui perseorangan utama, Datuk Lee Chong Wei, yang menumpaskan Anthony Sinisuka Ginting dalam straight set, 21 – 19 dan 21 – 16.

Namun, kehebatan Chong Wei gagal dituruti Goh V Shem dan Tan Wee Kiong dalam acara beregu ketika berdepan beregu utama dunia, Marcus Fernaldi Gideon dan Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Kedua pemain negara itu berusaha menandingi lawan dan berjaya mengheret perlawanan hingga ke rubber set sebelum tunduk, 19 – 21, 22 – 20 dan 13 – 21 untuk Indonesia menyamakan kedudukan 1 – 1.

Dalam perlawanan ketiga, perseorangan kedua negara, Lee Zii Jia, yang diharap memungut mata ketika berdepan Jonatan Christie, tetapi tidak berupaya melakukannya dan tewas dalam tiga set, 15 – 21, 21 – 11, 11 – 21 dalam saingan kira-kira 45 minit itu.

Beregu kedua, Aaron Chia dan Teo Ee Yi, yang turun dalam perlawanan keempat berusaha mencatat kemenangan bagi menyamakan kedudukan namun menghadapi cabaran sengit beregu Indonesia, Muhammad Rian Ardianto dan Fajar Alfian dan terpaksa akur dengan kekalahan, 18 – 21, 21 – 10, 9 – 21.

Kekalahan 1 – 3 kepada Indonesia menyaksikan Malaysia tersingkir dari kejohanan yang pernah dijuarai lima kali dengan kali terakhir melakukannya pada 1992.

Dengan kejayaan itu, Indonesia akan berdepan China manakala Denmark bertemu Jepun, dalam separuh akhir, hari ini.