Categories
SUKANKINI

Piala Thomas: Tewas dengan Denmark, Malaysia ke suku akhir

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 MEI: Malaysia muncul naib juara Kumpulan D selepas tewas 2 – 3 kepada Denmark dalam perlawanan peringkat kumpulan pada pusingan akhir Piala Thomas di Impact Arena, Bangkok, Thailand, malam tadi.

Walapun tewas, skuad badminton negara memberikan cabaran hebat hingga ke perlawanan terakhir di mana juara bertahan itu dikerah bagi meraih mata kemenangan menerusi perseorangan ketiga, Jan O Jorgensen yang menewaskan Iskandar Zulkarnain, 16 – 21, 21 – 17 dan 21 – 14.

Malaysia memulakan perlawanan dengan memungut mata pertama melalui perseorangan utama, Datuk Lee Chong Wei, dengan menundukkan pemain nombor satu dunia, Victor Axelsen dalam dua set, 21 – 9 dan 21 – 19.

Namun, beregu negara, Goh V Shem dan Tan Wei Kiong, gagal meneruskan rentak kejayaan apabila tewas kepada pasangan lawan, Mads Conrad-Petersen dan Mads Pieler Kolding, 22 – 24, 21 – 15 dan 21 – 15 dalam perlawanan kedua untuk kedudukan satu sama.

Perlawanan ketiga dalam perseorangan kedua memihak kepada Malaysia untuk mengatasi dengan 2 – 1 apabila Lee Jii Zia, mengatasi Hans Kristian Solberg Vitthinghus, 21 – 18 dan 21 – 18.

Bagaimanapun, Denmark menyamakan kedudukan selepas itu melalui beregu kedua, Mathias Boe dan Mathias Christiansen, yang mengalahkan pasangan negara, Aaron Chiah dan Teo Ee Yio dalam perlawanan sengit tiga set, 19 – 21, 21 – 10 dan 21 – 18.

Dengan kekalahan itu, Malaysia melangkah ke suku akhir dan bakal berdepan Indonesia manakala Denmark bertemu Korea Selatan, hari ini.

Dalam perlawanan lain, China menentang Taiwan dan Jepun melawan Peranchis.