Categories
NASIONAL

Pilihan tepat rakyat, angkat PAKATAN tadbir negara

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 16 MEI: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan penghargaan terhadap keputusan rakyat memilih Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) bagi mengambilalih pentadbiran negara.

Apa lebih penting, Presiden KEADILAN dan juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, proses perubahan dalam sisitem demokrasi itu berlaku dalam dalam keadaan aman dan damai.

“Ini kelebihan tanah air kita di mana selepas 61 tahun (di bawah Barisan Nasional), kita menukar pentadbiran negara secara baik dan teratur.

“Tahniah rakyat Malaysia kerana membuat pilihan tepat,” katanya dalam Majlis Menyambut Pelantikan Timbalan Perdana Menteri di Padang Perbandaran Ampang Jaya di sini, malam tadi.

Beliau berkata, rakyat telah mencipta sejarah terhadap perubahan itu dan kini PAKATAN akan memberi tumpuan bagi membina semula negara ini.

Katanya, komitmen PAKATAN kini bagi menunaikan janji termaktub dalam tempoh 100 hari seperti mana terkandung dalam manifesto.

“Dalam perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kita akan mulakan dengan melaksanakan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar kosong peratus serta menstabilkan harga minyak.

“Saya percaya Majlis Penasihat akan merangka dengan betul supaya kita mendapat dana supaya ekonomi negara kembali kukuh,” katanya.

Pembebasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ini, katanya, akan membantu bagi merealisasikan hasrat itu dengan kembali bersama Dr Mahathir yang pernah meletakkan Malaysia sebagai ‘Asean Tiger’ dalam pentadbiran terdahulu.

Dr Wan Azizah turut berterima kasih kepada pemilih di Pandan yang mengangkatnya sebagai Ahli Parlimen dalam PRU lalu.

“Saya sungguh berbesar hati dan berterima kasih terutama kepada warga Pandan.

“Saya telah bertanding beberapa kali dalam PRU tetapi Pandan bagus, bertanding kali pertama terus jadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

=EZY=