Categories
NASIONAL

Pindah beg tangan ‘Birkin’ secara rahsia?

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 MEI: Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengutuk cubaan menyembunyikan beg tangan berjenama milik isteri bekas pemimpin negara.

Exco Pemuda PPBM Nasional, Ben Ali berkata, pihaknya menerima maklumat dan rakaman video menunjukkan lebih 50 beg tangan jenama ‘Birkin’ sedang dipindahkan secara rahsia daripada sebuah van milik Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke kondominium di Kuala Lumpur.

Katanya, dipercayai setiap satu beg berkenaan dianggarkan bernilai RM200,000.

“Setiap kotak pada beg berkenaan tertera label nama si pemberi kepada penerima. Disebabkan pemimpin itu sedang terpalit dengan pelbagai skandal serta penyelewengan wang secara besar-besaran, kami selaku Exco Pemuda PPBM Nasional menggesa serbuan dilakukan ke kondominium berkenaan.

“Selain daripada beg mewah yang mencurigakan, van tertera nama JPM itu juga perlu disiasat atas salah guna kuasa, di mana mereka menggunakan aset milik kerajaan tanpa kebenaran untuk kegunaan peribadi,” katanya.

Atas sebab itu, Ben dan Bendahari Pemuda PPBM Nasional, Rafiq Hakim Razali serta Exco Pemuda PPBM Nasional, Azizi Sulaiman membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

Ben berkata, siasatan sedang dijalankan dan polis menasihatkan PPBM melaporkan hal berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan susulan.

“Kami Pemuda PPBM akan terus bersuara untuk memperjuangkan hak rakyat dan melawan pemimpin kleptokrasi di negara ini,” katanya.