Categories
NASIONAL

PM Jepun ucap tahniah kepada Tun Mahathir

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 24 MEI: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 dan pembentukan kerajaan baharu Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan berkata, Tun Dr Mahathir menerima panggilan telefon daripada Abe sekitar jam 11.45 pagi, hari ini.

“Abe mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir atas pembentukan kerajaan baharu serta pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.

“Dalam perbualan telefon itu, kedua Perdana Menteri berbincang berkenaan cara memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun serta lawatan Tun Dr Mahathir ke Jepun bulan hadapan, pada Persidangan Tahunan Nikkei,” katanya.

Tun Dr Mahathir turut merakamkan penghargaan kepada Jepun atas bantuan diberikan dalam pembangunan Malaysia dan diharapkan kedua negara dapat meneruskan kerjasama.