Categories
SELANGOR

Polis perhebat gerakan kesan Jamal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 MEI: Polis Selangor sedang memperhebatkan tindakan mengesan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya juga sedang memohon waran tangkap ke atas Jamal melibatkan beberapa kes yang disabitkan ke atasnya.

“Pihak polis telah menjalankan tindakan mengikut peruntukan undang-undang, dan setakat ini terdapat sembilan kes sedang disiasat yang melibatkan Jamal, tiga daripadanya telah dituduh di Hospital Ampang Putri pada 25 Mei lalu.

“Polis juga telah memberikan masa yang cukup kepada beliau supaya memberikan kerjasama dalam semua siasatan dan prosedur yang sedang dijalankan, namun beliau masih gagal memberikan respon.

“Sebaliknya beliau sentiasa cuba berdolak dalik dalam kenyataan viral yang dilakukan oleh beliau,” katanya.

Sebelum itu Jamal melalui video rakaman berdurasi 7 minit menjadi viral di laman facebook hari ini, dia dilihat berada di kawasan kelapa sawit menjelaskan bimbang akan ditangkap pihak berkuasa sebaik sahaja hadir memberi kenyataan.

Beliau sebelum ini berjanji untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi memberi keterangan pada kira-kira jam dua petang, Bagaimanapun, beliau gagal hadir seperti dijanjikan.