Categories
SELANGOR

“Proses pembodohan rakyat sudah berakhir” – MB

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 16 MEI: Gelombang kebangkitan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berjaya menamatkan proses pembodohan rakyat yang berlaku ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, masyarakat pasca PRU14 kemudiannya turut menuntut anjakan paradigma dalam semua dimensi untuk menuju kecemerlangan.

“Kini kita berada dalam era pencerahan dengan tema malam ini amat tepat sekali, iaitu guru pemacu transformasi pendidikan.

“Czelaw Milosz dalam bukunya berjudul ‘The Captive Mind’ mengingatkan kita untuk membebaskan minda manusia dari penjajahan intelek dan berfikiran segar melakar masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Pendidikan Sempena Perayaan Hari Guru 2018, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam tadi.

Mohamed Azmin berkata, proses pembebasan minda perlu membabitkan pemikiran kritis, ikhtiar untuk menegakkan keadilan dan merelisasikan gagasan negara penyayang.

Katanya, usaha pembebasan minda itu turut memerlukan peranan strategik guru.

“Usaha melakukan transformasi pendidikan negara akan gagal jika penggubal dasar dan warga pendidik tidak mengambil kira peri pentingnya pembebasan minda,” katanya.