Categories
NASIONAL

PRU14: PPBM teliti laporan penipuan SPR

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 28 MEI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan meneliti semua laporan berkenaan penipuan pilihan raya yang didakwa dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hingga menyebabkan calon mereka tewas di beberapa kerusi.

Bagaimanapun, Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap gembira dengan kejayaan dicapai Pakatan Harapan (PAKATAN) apabila berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita terima banyak laporan berkenaan PRU membabitkan kes penipuan yang dilakukan SPR menyebabkan beberapa calon kita kalah. Ada yang menang dalam kiraan pertama tetapi datang peti undi lain, kemudian kalah.

“Ada kes undi rosak sampai 700 hingga 800 kertas. Itulah prestasi kita tidak begitu baik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menjangkakan peralihan kuasa berlaku secara aman tanpa keganasan selepas BN gagal memperoleh kerusi majoriti mengekalkan kuasa di peringkat persekutuan.

Pada masa sama katanya, siasatan berkenaan penipuan PRU bukan sahaja membabitkan PPBM tetapi parti lain yang berada dalam komponen PAKATAN.