Categories
SELANGOR

Ribut petir di Selangor dijangka hingga Rabu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 MEI: Selangor dijangka mengalami hujan ribut petir bermula hari ini sehingga Rabu akan datang, demikian lapor Jabatan Metereologi Malaysia.

Melalui laman web rasminya, cuaca berkenaan dijangka lebih kerap berlaku pada waktu petang termasuk di Shah Alam, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Kubu Bharu, Damansara, Subang Jaya dan juga Seri Kembangan.

Bagaimanapun pada waktu malam hampir kesemua tempat dijangka tidak mengalami sebarang hujan.

Namun, cuaca dijangka kembali seperti biasa pada Khamis, 31 Mei hingga Ahad akan datang, 3 Jun 2018.

Sementara itu Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menasihatkan supaya penduduk di sekitar Kuala Selangor berjaga-jaga dengan ramalan kaji cuaca tersebut.

“Penduduk perlu berwaspada dengan kemungkinan berlakunya kejadian banjir, mengikut ramalan, Stesen Parit Mahang akan menerima jumlah taburan hujan sebanyak 73 milimeter (mm), Sri Aman (68mm), Kampung Asahan (77mm) dan Teluk Penyamun (67.5mm).

“Lokasi-lokasi ini sedang menerima taburan hujan yang menunjukkan bacaan tinggi dengan trend meningkat, sila berada dalam keadaan waspada terhadap risiko berlakunya banjir dan banjir kilat,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Smart Selangor Command Center (SSCC), Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-50350920 atau 03-50350921.