Categories
SELANGOR

Sabak Bernam, Sepang dan Kuala Selangor, lokasi homestay paling popular

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 MEI: Sabak Bernam, Sepang dan Kuala Selangor menjadi lokasi penginapan homestay paling popular dalam kalangan pelancong di negeri ini.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, ia termasuk Homestay Papitusulem (Sabak Bernam), Homestay Sungai Haji Dorani (Sabak Bernam), Homestay Air Manis (Sabak Bernam), Homestay Banghuris (Sepang) dan Homestay Sungai Sireh (Kuala Selangor).

Katanya, homestay berkenaan menjadi tarikan kepada pelancong tempatan dan juga luar negara kerana suasana pemandangan sawah padi, malah kedudukannya terletak hanya beberapa jam sahaja daripada pusat bandar.

“Setiap homestay ini mempunyai keistimewaan tersendiri, namun terdapat persamaan diantara kesemuanya iaitu suasana kekeluargaan yang mesra diantara tetamu homestay dan juga tuan rumah.

“Aktiviti diberikan kepada tetamu seperti menanam serta menuai padi, memetik buah, menanam pokok, menoreh getah, serta pelbagai aktiviti berasaskan pertanian lain.

“Selain itu, terdapat juga pertunjukan kebudayaan pada waktu petang dan para tetamu berpeluang melawat kilang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk melihat produk tempatan dihasilkan serta mencuba hidangan tempatan,” katanya kepada SelangorKini.

Noorul Ashikin berkata, homestay di Selangor dipilih dengan teliti serta perlu memenuhi kriteria ditetapkan sebelum dipromosikan oleh Tourism Selangor.

“Terbaru, RM398,000 diperuntukkan bagi menyediakan latihan dan bimbingan untuk komuniti setempat menguruskan aktiviti homestay serta pelancongan yang lebih baik.

“Tourism Selangor akan memastikan pelancongan homestay ini menjadi sebahagian daripada industri pelancongan, ia akan terus dibangunkan dan dipromosikan untuk mencapai potensi sebenar,” katanya.