Categories
NASIONAL

Sepanduk hina polis kait Khalid Samad fitnah

SHAH ALAM, 7 MEI: Calon Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa kain rentang yang tertera ayat menghina Polis Diraja Malaysia menggunakan gambar beliau adalah fitnah.

Dalam sidang media di pejabatnya, hari ini, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai politik murahan oleh pihak lawan bagi mengelirukan pengundi.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika pegawai, anggota dan pesara polis kontinjen Selangor ingin menjalankan tanggungjawab mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pada 5 Mei lalu.

“Saya dimaklumkan pegawai polis di sana ketika membuat pantauan hari mengundi awal, terdapat dua kain rentang yang menggunakan gambar saya dengan tertulis ‘Polis Malaysia Anjing’, manakala satu lagi dibakar dengan mesej hampir sama ‘Polis Malasia, Anjing Kerajaan’.

“Saya sudah membuat laporan polis untuk menafikan sekerasnya tindakan itu dan ia jelas menunjukkan ini adalah agenda politk untuk memburukkan diri saya,” katanya.

Khalid turut menegaskan tindakan memasang sepanduk pada hari polis mengundi sebagai kurang bijak.

“Polis sendiri mengatakan mereka yakin ia bukan kerja saya kerana tidak mungkin saya nak pasang sepanduk semasa hari polis mengundi.

“Saya juga dimaklumkan siasatan sedang dijalankan dan pihak forensik mengambil cap jari ke atas sepanduk untuk mengenal pasti individu bertanggungjawab,” katanya.