Categories
NASIONAL

Shukri dedah MP dari utara kemuka tawaran ‘kawtim’ kes 1MDB

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 22 MEI: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mendedahkan dirinya dihubungi ‘Ahli Parlimen dari utara’ yang bersedia untuk menunaikan segala permintaannya asalkan kes 1MDB dianggap ‘selesai’.

Tanpa menyebutkan nama secara jelas beliau berkata, pemimpin politik itu menghubunginya dua kali ketika beliau cuba melengkapkan siasatan.

“Ahli Parlimen itu tanya, ‘You (saya) nak apa?’

“Saya cakap jangan masuk campur siasatan saya. Saya tidak mahu apa-apa, saya hanya menjalankan tanggungjawab dan saya tidak mempunyai kepentingan dalam kes ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Katanya, beliau ada bertemu dengan beberapa pemimpin kerajaan ketika itu bagi menceritakan kebenaran isu 1MDB serta menggesa Datuk Seri Mohd Najib Razak digantikan dengan pemimpin lain.

“Kes RM2.6 bilion adalah kes benar. Saya kata buang pelaku rasuah, buang Najib, ganti orang lain untuk jadi Perdana Menteri.

“Tetapi hanya tiga orang sahaja berani bersuara iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Husni Hanadzlah.

“(Pemimpin) yang lain semua tak nak dengar. Saya dah kata saya tidak ada sebarang kepentingan.

“1MDB bukan cerita rekaan, ini kes terlalu besar yang tidak boleh dilindungi,” katanya.

Dengan nada sebak Mohd Shukri turut menceritakan kebimbangan yang dialami apabila dua pegawainya ditukarkan ke jabatan lain ketika beliau berada di luar negara.

Ketika itu, beliau menghubungi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Paul Low bagi meminta dua pegawainya dikembalikan semula ke SPRM.

Katanya, beliau turut diugut dengan peluru hidup sebelum ini dan kejadian itu tidak pernah diceritakan kepada sesiapa termasuk ahli keluarganya.

=EZY=