Categories
NASIONAL

Siasatan adil dan bebas, Anwar minta Najib cari peguam terbaik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MEI: Siasatan terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kes SRC International Sdn Bhd akan dilakukan secara adil dan bebas.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun, mahu semua pihak tidak menjatuhkan hukuman terhadap Najib sebelum siasatan rapi dan pelaksanaan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.

Anwar turut menasihatkan Najib mencari peguam bela yang baik.

“Kepada beliau (Najib), nasihat saya cari peguam bela yang baik,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan bekas Presiden Indonesia Bacharuddin Jusuf Habibie, sempena sambutan 20 tahun reformasi Indonesia, di Jakarta, semalam.

Dalam pertemuan dengan Bacharuddin atau lebih dikenali BJ Habibie itu, Anwar berkata, pertemuan dan perbincangan itu akan mengeratkan lagi hubungan antara dua negara serta memperkukuh iltizam melaksana agenda reformasi, di Malaysia.

Selain itu, Anwar berkata, Kerajaan Pakatan Harapan akan melaksanakan agenda secara lebih spesifik antaranya mengukuhkan lagi badan kehakiman, kebebasan media lebih adil dan program pembasmian kemiskinan lebih tersusun.

Katanya, tahun 1998 adalah tahun keramat bagi Malaysia dan Indonesia dan tarikh 21 Mei 1998 diingati rakyat Indonesia sebagai jatuhnya rejim Orde Lama serta bermulanya zaman peralihan kuasa juga pengukuhan institusi demokrasi yang berlaku dengan pentadbiran Presiden BJ Habibie.

“Manakala 2 September 1998 diingati rakyat Malaysia sebagai tarikh bermulanya kejatuhan rejim Barisan Nasional yang akhirnya selesai hampir dua dekad kemudian, pada 9 Mei lalu,” katanya memetik BERNAMA.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan, pada 2012.

Pada 26 Jan 2016, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes membabitkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.