Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

SPAD, JASA, Majlis Profesor Negara dibubar

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 23 MEI: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dimansuhkan dan peranannya akan digantikan oleh Kementerian Pengangkutan sendiri.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembubaran itu dibuat kerana tidak memberi manfaat kepada negara tetapi sebaliknya hanya meningkatkan perbelanjaan kerajaan.

“Kita dapati peranannya bertindih dan ini adalah pembaziran merugikan negara,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jemaah Kabinet di Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Mahathir berkata, selain SPAD, turut dimansuhkan adalah Majlis Profesor Negara.

Katanya, matlamat asal penubuhan Majlis Profesor Negara bertujuan untuk memberi maklumat berguna kepada kerajaan tetapi sebaliknya sudah disalahgunakan untuk menyokong agenda kerajaan semata-mata.

Selain SPAD dan Majlis Profesor Negara, turut sama dimansuhkan adalah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang khusus membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kuasanya.

Ketika menyentuh isu kira-kira 17 ribu orang lantikan politik yang berkhidmat dalam pentadbiran awam, Mahathir berkata, langkah itu merupakan satu pembaziran.

“Ada antara lantikan politik ini langsung tidak berfungsi tetapi disebabkan ahli politik hanya ingin menolong rakan-rakan mereka,” katanya.

=EZY=