Categories
SELANGOR

SPAN, Air Selangor serbu tapak projek curi air

OLEH NAZLI IBRAHIM

WANGSA MAJU, 24 MEI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menanggung kerugian kira-kira RM295,000 ekoran kecurian air di tapak projek pembinaan lebuh raya bertingkat dengan membabitkan 184,558 meter padu air.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd Fazil Ismail berkata, justeru satu serbuan bersama Air Selangor dijalankan selepas siasatan dijalankan.

“Sambungan haram ini telah berjalan 1,100 hari dan menyalurkan bekalan air ke satu kolam tadahan di tapak projek untuk kegunaan harian pekerja.

“Kesalahan ini akan disiasat di bawah peruntukan Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana siasatan lanjut akan dijalankan SPAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai serbuan dijalankan di persimpangan Jalan Sambungan dari Jalan 1/27A ke  Jalan Setiawangsa di sini.

Katanya, di bawah peruntukan Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), menyatakan tiada seorang pun selain pemegang lesen boleh membuat apa-apa sambungan ke suatu sesalur utama atau paip air perkhidmatan.

Mohd Fazil berkata, jika disabitkan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tempoh tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk membenteras kejadian kecurian air.

“Orang ramai wajar tampil membuat aduan sekiranya mengetahui terdapat aktiviti mencuri air bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

“Kecurian air juga memberi kesan kepada tekanan air yang menyebabkan tekanan air untuk disalurkan kepada masyarakat sekitar menjadi rendah,” katanya.