Categories
NASIONAL

SPRM: Najib tidak ditahan hari ini

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 22 MEI: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak akan ditahan hari ini.

Katanya, Najib hanya akan diambil keterangan berhubung siasatan ke atas skandal kewangan berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB pada 2015 dan kemasukkan wang kedalam akaun peribadi beliau.

“Beliau tidak ditahan (hari ini), cuma akan ambil keterangan kerana kami ada maklumat tambahan.

“Jadi beliau dipanggil untuk beri keterangan dan bukan untuk tahan. Ini adalah sebahagian daripada siasatan lanjut mengenai Najib dalam SRC International, kalau bukti kata dia bersalah,dia bersalah lah,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Mohd Shukri berkata, selain Najib, pihaknya akan memanggil beberapa lagi individu untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

“Kita panggil Najib dulu, tapi kita masih lagi melihat seorang dua lagi saksi penting. Selepas itu kita boleh putuskan,” katanya.

Najib tiba di Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd sekitar jam 9.42 pagi dengan menaiki kenderaan Toyota Vellfire berserta kawalan ketat anggota polis.