Categories
SELANGOR

Semak semula isu potong mutu padi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang kini menerajui Putrajaya diharap dapat menyelesaikan isu pemotongan pemutuan padi yang melebihi 20 peratus.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, hal itu kerana keadaan terbabit mengundang beban kepada pesawah, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati.

Katanya, perkara itu perlu diselesaikan dalam masa terdekat kerana musim menuai, di Sekinchan sudah bermula.

“Saya akan minta bakal Menteri Pertanian dan Asas Tani yang dijangka mengangkat sumpah hari ini (untuk melihat perkara ini).

“Saya berharap perkara ini akan dapat diselesaikan dan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.

Pada masa sama, beliau mahu mengundang menteri berkenaan untuk melawat kawasan tanaman padi, di Sekinchan.

Terdahulu, Suee Lim mahu penyelarasan potongan pemutuan padi di negeri ini, pada kadar 17 peratus.

Katanya, terdapat kira-kira 18,000 hektar kawasan tanaman padi membabitkan lebih 7,000 pesawah, di Selangor.