Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tarif air mahal, lebih baik minum minyak

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 3 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) sudah membuktikan kewibawaan mengurus pentadbiran Selangor menerusi salah satu kejayaan mengekalkan tarif air, pada harga RM1.39 sejak 2009.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tarif itu boleh meningkat sehingga RM3.19, pada 2018 jika Selangor diperintah mengikut gaya Barisan Nasional (BN).

Malah, katanya, BN bertanggungjawab menswastakan industri air, di Selangor ketika memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri, sebelum 2008.

“Apabila diswastakan industri air Selangor, dia beri kepada syarikat kroni UMNO. Saya beri contoh ini bukan berita palsu (fake news) tetapi berita sebenar (real news).

“SYABAS milik Tan Sri Rozali Ismail, Bendahari UMNO. Syarikat Puncak Niaga, syarikat UMNO. Dalam perjanjian konsesi, UMNO memberikan kuasa mutlak kepada Tan Sri Rozali, setiap tiga tahun dia boleh menaikkan tarif air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Cermah Perdana Amanat Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan dan Seri Setia di PJS2, Taman Medan, malam tadi.

Katanya, tarif itu bakal mengatasi harga runcit minyak semasa, pada kadar RM2.20 bagi RON95 jika tidak dikawal Kerajaan Negeri.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri turut membelanjakan RM180 juta setahun bagi memberikan air percuma 20 meter padu, pada kadar RM11.40 kepada hampir enam juta rakyat Selangor menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Kalau saya ikut cara UMNO urus air, tahun ini tarif meningkat kepada RM3.19, sekali gus lebih mahal daripada minyak.

“Lebih baik kita minum minyak, mandi minyak, jadi orang minyak, kita cekik BN.

“Tetapi saya dan PAKATAN, pada 2009 apabila rakyat beri sokongan, kita panggil (Tan Sri) Rozali Ismail, (minta) hentikan, kami tidak benarkan kamu menaikkan kadar tarif air di Selangor,” katanya.