Categories
NASIONAL

Tekad, sabar dan tabah – rahsia Dr Wan Azizah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 22 MEI: Tekad, sabar dan tabah menjadi prinsip utama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendepani segala cabaran dan liku-liku kehidupan yang dilaluinya.

Dr Wan Azizah berkata, kecekalan itu menjadi asas terpenting baginya untuk terus kuat melalui fasa-fasa kejatuhan ketika era kezaliman dan cengkaman politik yang dikenakan keluarganya, sebelum ini.

“Seperti yang telah lalui saya dalam hidup saya, saya berpegang kepada tekad itu, sabar sedikit dan tabah. Ramai orang beranggapan ia mudah, tetapi hakikatnya tidak.

“Saya merasakan jika kita gigih, kita akan dapat menempuhi cabaran hidup ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pagi ini.

Dr Wan Azizah sebelum ini lantang memperjuangkan hak demokrasi masyarakat Malaysia.

Sebelum ini, umum sedia maklum beliau menerajui kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan menentang kerakusan pentadbiran Barisan Nasional, di peringkat Persekutuan.

Beliau turut mengangkat amalan Reformasi memperjuangkan hak dan kezaliman politik fitnah yang dilemparkan pihak tertentu terhadap suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kini, Dr Wan Azizah antara individu terpenting yang membawa kepada perubahan Malaysia Baru yang menyaksikan kejatuhan Umno BN pada pilihan raya lalu.

=EZY=