Categories
SELANGOR

Terima kasih Dato’ Mazalan Md Noor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 MEI: Suasana penuh kekeluargaan mengiringi Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi bersempena persaraan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Mazalan Md Noor berkuat kuasa 20 Mei 2018.

Selepas menabur bakti hampir 35 tahun, Mazalan akhirnya mengucapkan salam perpisahan kepada warga kerja SUK Selangor yang selama ini memberikan kenangan pahit manis buatnya sebagai penjawat awam.

Memulakan tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1983, tokoh berusia 60 tahun ini pernah menabur bakti di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan dan menjadi Datuk Bandar Majlis Badaraya Shah Alam (MBSA).

“Selama 35 tahun berkhidmat memberikan terlalu banyak pengalaman berharga, pengalaman pahit dan manis semata-mata memberikan perkhidmatan buat negeri dan rakyat.

“Saya turut merakamkan penghargaan dan selamat berjaya kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan kepimpinan negeri.

“Saya masih ingat kenangan ketika bertugas dengan Mohamed Azmin di Kementerian Kewangan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Negeri Selangor.

Hadir sama bagi meraikan persaraan Mazalan ialah Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Dato’ Setiausaha Kerjaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron.

Setiausaha Kerjaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata beliau mula mengenali Mazalan pada 2007 menyifatkan beliau sebagai seorang pegawai yang berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawab diberikan.

“Beliau seorang yang mudah didekati, mudah berkomunikasi dan pantas melakukan tugas walaupun diberikan arahan hanya menerusi panggilan telefon.

“Beliau banyak membantu saya dalam mewakili beberapa majlis disaat saya berhadapan kesibukan tugas sedia ada,” katanya.

Katanya, Mazalan akan mengakhiri perkhidmatan di bawah Jusa B pada 20 Mei 2018.

=EZY=