Categories
NASIONAL

TPM lawat mangsa kebakaran di Pandan Jaya

KUALA LUMPUR 30 MEI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat mangsa kebakaran di Kampung Pandan Jaya di sini hari ini.

Kesemua mangsa daripada 24 keluarga kini ditempatkan di Dewan Baiduri Kampung Pandan Jaya, lapor BH ONLINE.

Selain meninjau keadaan mangsa, Dr Wan Azizah turut mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan yang diberikan agensi kerajaan yang berkaitan.

Beliau berkata, untuk bantuan segera semua 24 keluarga itu akan dibekalkan khemah khas dilengkapi tilam, bantal, tikar, makanan dan kelengkapan diri ketika mereka menumpang di Dewan Baiduri berkenaan.

Katanya, bantuan makanan dan kesihatan juga diberikan kepada mangsa yang mana ia diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Memandangkan ada dalam kalangan mangsa adalah warga tua dan orang kelainan upaya (OKU) maka mereka ini akan diberikan keutamaan,” katanya ditemui selepas melawat mangsa kebakaran itu.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau sudah mengarahkan agensi kerajaan yang terbabit menguruskan semua keperluan mangsa berkenaan.

“Sebagai permulaan pejabat Ahli Parlimen Pandan akan menyediakan bekalan makanan kepada mangsa bersama bantuan JKM dan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ” katanya.

Beliau turut menyumbang bantuan peribadi kepada mangsa kebakaran itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3 pagi mengenai kebakaran kediaman membabitkan enam kediaman.

Katanya,bomba dari Balai Bomba Pandan Indah berjaya mengawal kebakaran pada jam 7 pagi.

Beliau berkata, semua mangsa dilaporkan selamat dengan bantuan orang awam.

Katanya, punca sebenar kebakaran masih disiasat.

SUMBER: BH ONLINE