Categories
NASIONAL

Tun M harap umum kabinet penuh dua minggu lagi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap dapat mengumumkan beberapa lagi anggota Kabinet dalam tempoh dua minggu ini.

Beliau berkata, terdapat cabaran melantik seseorang dalam kabinet kerana ia memerlukan pertimbangan pengagihan bilangan kementerian untuk empat parti dalam Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Pemilihan adil untuk keempat parti antara perkara yang dititikberatkan kerana saya perlu fikir berapa jumlah kementerian yang mereka dapat dan apakah kementerian diperolehi.

“Di Malaysia perlu fikir faktor bangsa dan negeri kelahiran supaya sama rata dan mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan empat parti gabungan ini.

“Hal ini berbeza sewaktu saya menjadi Perdana Menteri, pada 1981 apabila ketika itu saya hanya mengisi tempat kosong setiap kementerian kerana semua dalam satu parti UMNO sahaja,” katanya memetik klip video temu bual bersama The Edge Markets.

Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir berkata, beliau perlu meneliti dan mengambil kira kepentingan kesemua parti dalam PAKATAN.

Pada masa sama, katanya, keputusan melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan adalah berdasarkan pengalaman dan kejayaan yang ditunjukkan, di Pulau Pinang.

“Sebelum ini, menteri kewangan kita dalam kalangan Melayu, iaitu bekas perdana menteri, namun lihat sahaja bagaimana wang itu disalah gunakan.

“Jadi, tidak timbul soal bangsa kerana lebih penting adalah kualiti, pengetahuan dan seseorang yang faham selok belok kewangan.

“Guan Eng membuktikan kejayaan mengurus kewangan dengan lebih baik walaupun ketika itu Pulau Pinang dikatakan negeri pembangkang yang kurang mendapat perhatian kerajaan Barisan Nasional,” katanya.