Categories
NASIONAL

Umno tarik peruntukan kewangan semua bahagian?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 MEI: Tular di media sosial salinan surat mendedahkan maklumat penamatan penyaluran peruntukan bulanan kepada Umno Bahagian seluruh negeri, berkuatkuasa Mei lalu.

Kandungan surat berkenaan difahamkan ditandatangani sendiri, Setiausaha Agungnya, Tengku Adenan Tengku Mansor, bertarikh 22 Mei.

“Sayugia dimaklumkan, Ibu Pejabat telah meneliti kedudukan kewangan parti ingin memaklumkan yang mana penyaluran peruntukan bulanan kepada pihak Bahagian dan Pergerakan Sayap-Sayap Bahagian terpaksa ditamatkan bermula Mei 2018.

“Walaubagaimanapun, adalah diharapkan agar pihak Bahagian dan Sayap Pergerakan Bahagian dapat meneruskan pengoperasian Bahagian sepertimana kebiasaan sebelum ini,” menurut kandungan surat berkenaan.

Difahamkan, edaran surat berkenaan turut diberikan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Setiausaha Badan Perhubungan, Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, Ketua Umno Bahagian dan Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda, dan Puteri Umno Bahagian.

Sehingga kini, tidak dapat disahkan lagi kesasihan penularan surat berkenaan.

Bagaimanapun, sejak kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Umno mengalami pergolakan terbesar parti itu yang akhirnya memaksa Presidennya, Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan.