Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

UNISEL setaraf institusi pendidikan awam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BESTARI JAYA, 26 MEI: Biarpun berstatus milikan Kerajaan Negeri, Universiti Selangor (UNISEL) setaraf kedudukannya dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, keperluan fasiliti dan pusat akademik universiti itu mencapai piawaian terbaik keperluan pembangunan pendidikan negara ini.

“UNISEL tidak digambarkan seperti IPTS (Universiti Swasta) lain yang dibangunkan di atas perumahan kedai atau tapak perumahan.

“Tetapi kita mempunyai kampus tersendiri dengan kemudahan dan fasiliti terbaik yang dapat diguna pakai mahasiswa UNISEL sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pendaftaran Kemasukan Mahasiswa Pengajian Asasi UNISEL Sesi Jun, 2018.

Terdahulu, UNISEL dikenali dengan nama, Universiti Industri Selangor dan ditubuhkan pada 23 Ogos 1999.

Pusat pengajian itu beroperasi di dua kampus iaitu di kampus induk berkeluasan 1000 ekar di Bestari Jaya, Kuala Selangor dan kampus bandar di Jalan Zirkon, Seksyen 7, Shah Alam.

Penubuhan UNISEL juga seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai hub pendidikan serantau yang terunggul.

Dr Mohammad Redzuan berkata, UNISEL kini komited memainkan peranan lebih aktif dalam penawaran program pengajian pendidikan tinggi.

Katanya, ia seiring komitmen meningkatkan pembangunan modal insan dan sahsiah mahasiswa cemerlang di negeri itu.

“Menjadi hasrat dan cita-cita UNISEL untuk mendukung aspirasi pendidikan negara kerana sejak kebelakangan ini kita telah banyak mencipta perubahan ke arah pelan transformasi pendidikan terbaik.

“Ini termasuklah komitmen kami menyediakan fasiliti dan kemudahan yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

“Keperluan ini bagi memastikan apabila mahasiswa belajar UNISEL, mereka bukan sahaja mendapat akses kemudahan terbaik, tetapi dapat merasai pembelajaran kondusif dan berkesan,” katanya.

=EZY=