OLEH NADIAH ZAMLUS
SHAH ALAM, 5 MEI: Hampir 10 tahun bersama penduduk Ampang, calon P99, Zuraida Kamaruddin pastinya sukar dikalahkan Barisan Nasional (BN) mahupun PAS.
Setiap kali turun padang terutama ketika ceramah umumnya, penduduk akan bersorak memanggil nama Zuraida dengan penuh semangat.
Berbeza dengan calon lain, Zuraida lebih senang bersalaman dengan semua hadirin sebelum naik ke pentas menyampaikan ceramahnya dengan penuh semangat.
Ketika menghadiri Ceramah Umum Pakatan Harapan (PAKATAN) di Bukit Antarabangsa, beberapa warga emas kaum Cina bertepuk tangan apabila melihat kelibat Zuraida.
Zuraida mengakui pada 2008 sewaktu kali pertama bertanding di Ampang, beliau berkempen di Bukit Antarabangsa.
Katanya, di situ adalah kubu kuat UMNO pada waktu itu.
“Pernah dikatakan, siapa mahu menjadi menteri, bertanding di Ampang, memang akan jadi menteri, tetapi itu dulu, sekarang orang UMNO di Ampang pun sudah undi PAKATAN.
“Akibat ada yang takut melihat kekuatan di Ampang, persempadanan semula dilakukan, ramai pengundi Melayu ‘dipindahkan’ ke Gombak selepas proses itu, majoriti di sini pengundi Cina dan India, BN ingat saya takut?, mereka hantar pula MCA ke sini, saya tidak takut.
“Saya tahu masyarakat Ampang berpuas hati dengan kerja saya di sini, 9 Mei akan menyaksikan Ampang sekali lagi milik PAKATAN,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), Zuraida menang dengan majoriti 3,676 sekaligus mengalahkan BN pada waktu itu.
Kemudiannya, pada PRU13, Zuraida sekali lagi mengalahkan BN dengan majoriti besar iaitu 13,278 undi.
Zuraida berkata, 2018 menyaksikannya sekali lagi bertanding bagi PRU14.
“Namun penduduk di Ampang perlu tahu, saya bertanding kerana ingin berkhidmat untuk anda, bukannya untuk menang semata-mata,” katanya.