Categories
SELANGOR

Amirudin harapan golongan generasi muda

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 JUN: Pelantikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sekaligus meletakkan harapan besar buat golongan muda di Selangor.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, Amirudin merupakan muka baru dalam sistem pentadbiran negara khususnya di Selangor.

Katanya, walaupun telah lama berkecimpung dalam dunia politik namun pada usia 38 tahun beliau memenuhi kehendak politik semasa negara yang mahukan seorang pemimpin politik yang lebih muda yang memahami jiwa anak muda.

“Golongan muda banyak diberi perhatian pada waktu ini kerana ramai ingin melihat perubahan dalam landskap politik negara yang selama ini dipelopori golongan yang lebih berusia.

“Mereka juga menjadi tarikan pelbagai pihak kerana dilihat lebih kreatif, inovatif serta memahami dengan kehendak semasa,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Muzaffar berkata, walaupun Amirudin masih muda, namun seperti yang telah dinyatakan, beliau juga telah lama berada dalam pentas politik sekaligus memiliki pengalaman yang luas.

“Semoga rakyat Selangor memberi kerjasama kepada beliau dalam membangunkan Selangor ini,” katanya.

=EZY=