Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Amirudin Shari angkat sumpah Dato’ Menteri Besar Selangor baharu

KLANG 19 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua, Amirudin Shari, 38, dipilih dan mengangkat sumpah bagi memegang jawatan  Dato’ Menteri Besar Selangor ke- 16.di Istana Alam Shah, Klang, hari ini.

Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah itu dilakukan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bermula jam 10.15 pagi.

Amiruddin yang juga Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan tiba di perkarangan Balai Rung Seri Istana Alam Shah sekitar jam 8.20 pagi bersama isterinya, Masdiana Muhamad.

Majlis istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji pagi ini turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan pembesar-pembesar negeri.

Dalam istiadat sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Rodziah Ismail sebagai Exco Kerajaan Negeri bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Amirudin.

Rodziah pernah memegang jawatan EXCO Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi dari 2008 sehingga 2013 ketika di bawah pentadbiran bekas Dato’ Menteri Besar, Tan Sri dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim.

Terdahulu, Mohamed Azmin berkesempatan untuk mengikuti Majlis Serah Kuasa Menteri Besar Selangor bersama Amirudin di Balai Mengadap Istana Alam Shah sekitar jam 9.30 pagi.

Mohamed Azmin bersama isterinya, Datin Seri Shamshida Taharin tiba di Istana Alam Shah sekitar jam 8 pagi mengikuti majlis berkenaan.

Dalam majlis itu, Amirudin turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi serta patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

Antara kandungan Aku Janji tersebut adalah memihara serta memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama bukan Islam, memelihara institusi raja dari dicaci serta diganggu, mematuhi arahan Tuanku Sultan.

Selain itu, Amirudin turut berikrar bagi memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain, melaksanakan tugas dengan penuh intergriti serta tanggungjawab, mendahulukan rakyat, memasgikan kemakmuran negeri itu ditahap tertinggi, memelihara jawatan yang diamanahkan dari dicemari tindakan menyalahi undang-undang dan memelihara perpaduan.