Categories
SUKANKINI

ARRC: Ramdan bersemangat ke Suzuka

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 JUN: Pelumba negara, Mohd Ramdan Rosli mengakui, tugas sukar mengulangi pencapaian podium di Australia apabila bertandang ke Litar Suzuka, Jepun, bagi perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC), bermula hari ini hingga 3 Jun ini.

Pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia itu mencipta kejutan apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam perlumbaan kedua selepas perlumbaan pertama dibatalkan, sekali gus meraih podium pertamanya dalam kelas SuperSports 600cc.

Beliau berkata, podium di Australia menjadi pembakar semangat untuknya beraksi lebih baik di litar Suzuka walaupun mungkin faktor nasib turut membantu, namun ia tak boleh dicapai tanpa usaha bersama pasukan, sepanjang minggu.

“Memang tidak dinafikan bukan tugas mudah untuk menaiki podium di Suzuka terutama dengan kehadiran ramai pelumba Jepun dan juara musim lalu, Anthony West, yang kembali beraksi, pada pusingan ini.

“Namun, jentera kami semakin baik berbanding pusingan pertama di Thailand dan saya semakin dapat menyesuaikan diri dengan jentera serta yakin minggu ini pasukan akan menyediakan jentera terbaik,” katanya yang kali terakhir beraksi di litar Suzuka, pada 2013.

Ramdan yang bergandingan dengan pelumba muda, Kasma Daniel Kasmayuddin, berkata tumpuan sepenuhnya akan diberikan pada sesi latihan bebas pertama untuk mengumpul data dan menyesuaikan diri dengan litar.