Categories
NASIONAL

Azmin MB yang dirindui

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 JUN: Walaupun kurang empat tahun menduduki kerusi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berjaya meninggalkan kesan mendalam di hati rakyat.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, hal itu ekoran kejayaan beliau mengurus pentadbiran negeri khususnya aspek ekonomi berorientasikan rakyat.

“Beliau pasti akan dirindui walaupun (pengalaman) menjadi Dato’ Menteri Besar tidak lama tetapi ia berguna untuk dimanfaatkan di peringkat persekutuan.

“Saya percaya ini memberi kesan kepada hati rakyat Selangor dan saya percaya juga terhadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, keadaan itu berbeza dengan empat Menteri Besar sebelum ini yang berakhir dengan ‘tragedi’.

Rosli berkata, Mohamed Azmin juga membuktikan kerusi panas Dato’ Menteri Besar tidak memiliki ‘badi’ seperti dimomokkan kebanyakan penganalisis politik, sebaliknya bergantung kepada integriti individu terbabit memikul tanggungjawab dan amanah sepanjang menduduki kerusi itu.

“Walaupun Menteri Besar sebelum ini ada antaranya boleh dikatakan memiliki prestasi tidak kurang bagus tetapi sayangnya berakhir dengan dicemari kontroversi yang meninggalkan titik hitam dalam sejarah institusi Menteri Besar Selangor dan ini berbeza dengan Mohamed Azmin.

“Saya percaya apa yang lebih membanggakan rakyat dan Tuanku Sultan, beliau bukan sahaja meninggalkan kerusi Menteri Besar dengan bergaya dan tanpa ‘tragedi’ tetapi kepakarannya ditagih untuk membina semula ekonomi negara. Ini yang patut dibanggakan, jangan bersedih,” katanya.