Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Bantu asnaf terima pendidikan terbaik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM203 juta bagi pembiayaan pendidikan asnaf, pada 2018 di negeri itu.

Ketua Devisyen Pembangunan Asnaf LZS, Zaharudin Salim berkata, RM83 juta diagihkan untuk latihan dan dermasiswa, sementara RM120 juta bagi pembangunan pendidikan.

Katanya, LZS membantu asnaf melalui pendidikan kerana ia langkah paling efektif mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Pada 2017, LZS memperuntukkan RM104 juta bagi melahirkan generasi kedua asnaf yang cemerlang melalui pendidikan.

“Bantuan pembangunan pelajar bagi anak asnaf Selangor bermula sejak awal, termasuk pemberian bantuan keperluan pendidikan, biasiswa pelajaran, dermasiswa belajar dalam dan luar negara, dermasiswa hafiz al-Quran serta dermasiswa pelajar cemerlang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, anak asnaf cemerlang yang ditawarkan ke sekolah berasrama penuh akan dibantu melanjutkan pengajian ke luar negara, termasuk Eropah dan negara Timur Tengah.

Pada masa sama, katanya, LZS kini merancang melahirkan huffaz profesional dalam kalangan anak asnaf, tidak lama lagi.

“Mana tahu satu hari nanti kita akan punyai menteri besar yang boleh menghafaz al-Quran atau doktor dan ilmuwan lain adalah huffaz, namun mereka dalam golongan profesional kerana diberi pendidikan terbaik,” katanya.